Bagaimanakah media dan pendapat umum rakyat Malaysia dimanipulasi oleh ahli-ahli politik?

Sebenarnya, berita dan personaliti yang disiarkan oleh media adalah boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu, terutamanya di Malaysia yang kekurangan peruntukan undang-undang untuk mengawal aktiviti-aktiviti media. Dalam konteks ini, terdapat berita-berita telah dilaporkan oleh media yang dikawal oleh parti politik secara langsung atau tidak langsung. Malahan, terdapat juga maklumat-maklumat palsu sengaja diviralkan oleh tentera siber yang diupah oleh kerajaan atau parti politik tertentu untuk memanipulasi pendapat umum masyarakat dan mengalihkan tumpuan orang ramai. 

Persekitaran pendapat umum yang tidak sihat 

Malangnya, kita berada di sebuah persekitaran pendapat umum yang tidak sihat. Sama ada isu awam atau skandal politik, tumpuan orang ramai selalunya dialihkan oleh isu perkauman atau isu agama yang dicipta oleh ahli politik. Hal ini telah menyebabkan orang ramai gagal untuk memfokuskan dalam isu atau dasar yang benar-benar penting untuk pembangunan negara. Isu Timah (jenama produk minuman keras yang disyaki menghina Islam dan Muslim)  yang lepas telah berlaku pada masa yang hampir sama dengan isu pembentangan Belanjawan, namun tumpuan  media dan orang awam telah terletak pada isu Timah tetapi bukan isu pembentangan Belanjawan. Isu Timah hanyalah melibatkan sebuah jenama produk sama ada perlu diubah atau tidak, namun isu Belanjawan telah melibatkan isu-isu yang sepatutnya perlu diberi perhatian oleh orang ramai seperti ekonomi yang lebih maju, peluang pekerjaan, peluang pendidikan dan sebagainya. 

Mengimbas kembali zaman Kerajaan Pakatan Harapan, isu Tulisan Jawi telah dibincangkan dengan lebih hangat daripada isu kerajaan mendakwa Tan Sri Musa Aman atas kes rasuah yang melibatkan amaun berbilion-bilion Ringgit dan isu logo Halal palsu yang disebabkan oleh amalan rasuah. Mengapakah fenomena sedemikian belaku? Hal ini adalah kerana kita telah dimanipulasi oleh media. 

Bagi menimba ilmu dalam persekitaran media yang telah dimanupulasi, apakah yang boleh kita buat? 

1. Kita perlu meningkat kesedaran masyarakat Malaysia bahawa, isu perkauman yang dicipta oleh ahli politik merupakan alat untuk mengalihkan tumpuan orang ramai supaya ahli politik dapat menutup amalan politik mereka yang tidak cekap dan rasuah. Oleh itu, jikalau terdapat isu sedemikian dibangkitkan lagi pada masa depan, orang awam perlu menghadapi isu tersebut dengan rasional. Sebagai contoh, apabila isu Timah dibangkitkan, apa yang kita harus lakukan adalah mengkritik ahli politik yang tidak menjalankan tugasan, membetulkan tumpuan orang awam supaya kembali pada isu pembentangan Belanjawan yang dapat menambah baik ekonomi, peluang pekerjaan, reformasi dan sebagainya. 

2. Reformasi media adalah wajib. Kita perlu menggalakkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai satu badan yang bebas, membolehkan pakar-pakar untuk menilai kekuatan dan kelemahan media, serta mengawal media yang dimanipulasi oleh parti politik dan sering membangkitkan sentimen perkauman. Pada zaman mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Gobind Singh, cadangan ini diterima dan satu jawatankuasa telah ditubuhkan, namun, Langkah Sheraton telah menyebabkan penubuhan majlis tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. 

3. Kita memperkenalkan dasar media yang selaras dengan keadaan negara supaya kita dapat mengawal ucapan kebencian berdasarkan perkauman dan agama dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, pada tahun yang lepas, Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan yang kontroversi iaitu ‘Orang Islam mempunyai hak untuk membunuh berjuta-juta rakyat Perancis bagi pembunuhan pada masa lalu’, namun kenyataan yang disyaki menyokong keganasan itu telah dipadamkan oleh pihak Twitter dalam masa satu jam. Tindak balas pihak media sosial terhadap insiden antarabangsa sedemikian adalah cepat. Namun begitu, apabila menghadapi kenyataan-kenyataan kebencian yang hanya dapat difaham oleh rakyat Malaysia, seperti ‘Orang Cina kaya, Orang Melayu miskin’, pihak media sosial tidak berusaha untuk memadamkan atau mengurangkan pengaruh kenyataan tersebut. 

4. Kita perlu memansuhkan undang-undang yang membenarkan ahli politik supaya mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan sama ada baik atau buruk sesuatu media atau pendapat umum seperti Artikel 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Keupayaan untuk berfikir tentang apa itu "pertuturan yang baik" memerlukan pertimbangan bebas tetapi bukan dikuasai oleh ahli politik dan diputuskan berdasarkan pertimangan politik. Kalau tidak, pelbagai undang-undang akan dijadikan alat bagi pemerintah untuk menghapuskan pemantauan, pemeriksaan atau suara bantahan yang munasabah terhadap kerajaan. Contohnya, pada tahun 2015, kerajaan telah mengarahkan penggantungan lesen ‘The Edge’  selama tiga bulan atas sebab mengancam keselamatan dan kepentingan negara. Contoh yang lain ialah kerajaan telah menangkap pemuda Gerakan dari ‘Kita Lawan’. 

5. Akhir sekali, kita sebagai individu perlu cuba untuk memahami dan mengambil berat tentang kepentingan transformasi media, terutamanya transformasi media yang disyorkan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ). CIJ merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berusia 20 tahun dan berusaha untuk menggalakkan transformasi media dan menentang berita palsu. Terima kasih kerana membaca, semoga kita dapat membincangkan isu politik dengan penuh rasional.